Home Muktamar PAS Ke 65 Sistem pendidikan PH gagal

Sistem pendidikan PH gagal

5
SHARE

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUANTAN: Sistem pendidikan yang diperkenalkan Pakatan Harapan dilihat gagal menyuntik roh pegangan agama yang murni kepada pelajar untuk berdepan dengan krisis moral, malah pencapaian pelajar masih diukur dengan kayu pengukur yang tidak menyeluruh, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Lebih mengeruhkan situasi kata beliau, para pendidik terpaksa berdepan dengan eksperimen baharu yang diperkenalkan kerajaan serta pelbagai lagi dasar baharu yang kerap berubah-ubah sehingga menekan pendidik dan pelajar.

Katanya lagi, andaian mengenai kegagalan PH dalam pendidikan dibuat berdasarkan statistik gejala sosial yang berada di tahap membimbangkan.

Ujar beliau, ianya melibatkan tingkah laku disiplin dan moral pelajar seperti kes-kes melibatkan dadah, pembuangan bayi, tekanan mental serta kes jenayah melibatkan ahli keluarga terdekat.

Menurut beliau, rakyat sedang menyaksikan tanda-tanda bermulanya kemusnahan tamadun Barat yang melanggar fitrah manusia dan alam sekitarnya.

Namun katanya menjadi sesuatu yang aneh sekiranya Malaysia seolah-olah mahu belajar dari tamadun Barat yang gagal dan rosak.

Malah katanya, sudah mula timbul keberanian dari pihak tertentu yang mewujudkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan gerakan normalisasi yang memperjuangkan budaya songsang seperti Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) serta menggunakan jenama Islam untuk agenda kebebasan beragama dan membuka aurat di kalangan wanita Islam.

“PAS percaya bahawa pelaburan dalam bidang pendidikan adalah pelaburan yang tidak akan rugi, malah memberikan pulangan yang paling lumayan di masa hadapan, supaya Malaysia dapat melahirkan generasi berilmu dan berakhlak yang disegani di mata dunia,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 di, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di Bandar Indera Mahkota, pagi tadi.

Justeru itu, beliau berpendapat Parti PAS berkewajipan memperkenalkan agenda pembangunan insan yang mengikut acuan pencipta manusia, Allah SWT.

“Kegagalan sistem pendidikan yang tidak mengikut acuan Allah menjadikan negara dan bangsa ketinggalan, lemah dan dipandang hina,” katanya.