Home Muktamar PAS Ke 65 Tajuk media melaga-lagakan kita

Tajuk media melaga-lagakan kita

3
SHARE

Oleh: ASLANI M

KUANTAN: Kejayaan PAS mengadakan kerjasama (taawun) politik dengan Umno sehingga membimbangkan musuh politik kerana mereka melihat potensi besar gabungan itu.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, berdasar perkembangan yang berlaku sekarang terdapat pelbagai usaha mereka bagi menggagalkan kerjasama itu.

Sebab itu katanya pada masa akan datang PAS akan berdepan dengan cabaran lebih banyak lagi.

“Dalam kita menilai cabaran itu hendaklah kita buat dengan jiwa yang bersih. Perlu melihat suasana dengan menyeluruh dan tidak boleh melihat dalam konteks kenegerian sahaja.

“Misalnya Kelantan tidak boleh fikir dalam konteks Kelantan sahaja,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota, di sini hari ini.

Beliau juga berharap pemimpin dan ahli PAS lebih berhati hati dengan media massa kerana ada dalam kalangan mereka menjadi alat menimbulkan kebencian terutamanya Malaysiakini.

Katanya, laman berita itu sering memberi gambaran yang negatif terhadap PAS.

“Mereka sering memberi gambaran yang negatif. Berdasar kepada tajuk yang digunakan nampak lebih negatif. Itu usaha untuk melaga-lagakan antara kita.

“Kalau hendak banding laman berita Free Malaysia Todaynampak lebih elok sedikit,” ujarnya.