Home Muktamar PAS Ke 65 Ucapan dasar Presiden PAS komprehensif

Ucapan dasar Presiden PAS komprehensif

3
SHARE

Oleh : KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUANTAN: Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65, disifatkan komprehensif dan jika dapat dilaksanakan mengikut perancangan, pakatan pembangkang boleh menguasainya.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ucapan dasar Presiden PAS itu bersifat komprehensif yang menyentuh pelbagai perkara.

Bahkan, katanya ucapan yang menyeluruh termasuk perencanaan asas bagaimana PAS mahu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), akan datang.

Menurutnya, ucapan presiden parti itu juga boleh dijadikan jadual bertindak kepada PAS negeri-negeri selepas muktamar ini.

“Ucapan dasar yang begitu komprehensif menyentuh pelbagai perkara termasuklah, perencanaan asas bagaimana kita hendak menuju ke PRU15 akan datang, dan kerjasama parti-parti (pembangkang) ke arah PRU15 itu.

“Ini sangat menyeluruh dan boleh menjadi suatu asas untuk perbahasan para perwakilan muktamar ini, dan boleh dijadikan jadual bertindak bagi setiap PAS di negeri-negeri.

“Jika kita boleh laksana apa yang dirancangkan itu dengan baik, insya-Allah PRU15 akan jadi milik kita,” tegasnya yang juga Menteri Besar Terengganu.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily, selepas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selesai merasmikan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Stadium Sukpa, Indera Mahkota, di ini, hari ini.

Ketika mengulas kehadiran ramai pimpinan Umno dan MIC kali ini, katanya senario itu telah melalui beberapa fasa dan pendekatan sebelum ini.

Menurutnya, komitmen dan kerjasama antara parti itu semakin baik bagi menggambarkan masa depan negara dan negeri ini di masa akan datang.

“Ini telah melalui beberapa fasa dan pada muktamar tahun lalu di Kuala Terengganu, ada juga kehadiran pimpinan Umno walaupun tidak begitu besar seperti hari ini.

“Ini menunjukkan komitmen dan kerjasama yang semakin baik dan dilihat pelbagai cara kerjasama itu. Saya lihat ini adalah masa depan baharu untuk Malaysia dan negeri-negeri di Malaysia,” jelasnya.

Namun, kata Dr Samsuri, presiden parti juga tidak lupa untuk menggariskan beberapa penegasan bagi memperkukuhkan jentera-jentera PAS itu sendiri. – HARAKAHDAILY 21/6/2019