Home Muktamar PAS Ke 65 Dewan Muslimat Usul Pendaftaran Mengundi Secara Automatif Ditolak; Elak Mudarat Lebih Besar

Usul Pendaftaran Mengundi Secara Automatif Ditolak; Elak Mudarat Lebih Besar

107
SHARE

Usul Pendaftaran Mengundi Secara Automatif Ditolak; Elak Mudarat Lebih Besar

Oleh: Asmaa Yusof

KUANTAN, 15 Jun – Perwakilan Dewan Muslimat PAS Melaka, Siti Hajar Mohamad Razali tampil membahaskan usul Pendaftaran Mengundi Secara Automatik di Muktamar DMPM hari ini.

Memulakan perbahasan, Siti Hajar menjelaskan pada 19 September 2018, Putrajaya, Mesyuarat Kabinet telah bersetuju dengan usul menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun seperti yang diamalkan selama ini.

Tambah beliau, usul yang dibawa oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah untuk memastikan anak muda berpeluang menentukan masa depan negara dalam pilihan raya yang akan datang seawal usia 18 tahun.

“Namun demikian, Kerajaan disaran untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik terhadap remaja yang menginjak usia 21 tahun, berbanding melaksanakan cadangan menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.

“Usia 18 tahun dilihat tidak wajar kerana usia tersebut merupakan tempoh peralihan remaja dari alam persekolahan ke alam awal dewasa.

“Jika diturunkan had umur sekalipun, tetapi individu itu gagal mendaftar, mereka tetap tidak berpeluang untuk mengundi.

“Maka sepatutnya apabila seorang belia itu sudah cukup umur 21 tahun, secara automatik nama mereka sudah tersenarai sebagai pengundi,” jelasnya.

Perwakilan Melaka itu menyatakan harapannya agar dengan pendaftaran pemilih secara automatik terhadap golangan muda, ia mampu meningkatkan jumlah dan peratus keluar mengundi pada PRU akan datang.

Usul tersebut diterima dengan bahas oleh Jawatankuasa Muktamar DMPM.

Di akhir perbahasan, usul tersebut ditolak oleh sidang muktamar bagi mengelakkan mudarat yang lebih parah kepada parti.

Ketua Muslimat Legal Team (MUSLET), Puan Fairuz Idris dalam perbahasannya menegaskan cadangan pendaftaran automatik perlu ditolak bagi mengelakkan mudarat kepada parti.

“Saya membantah usul tersebut. Tidak bijak jika PAS membawa usul ini untuk diketengahkan.

“Banyak risiko yang akan dihadapi memandangkan kita perlu memastikan data tidak dimanipulasi,” tegasnya.