Home Muktamar PAS Ke 64 Kerajaan Kelantan dan Terengganu Model Negara PAS

Kerajaan Kelantan dan Terengganu Model Negara PAS

1157
SHARE

Oleh: FIQRI ZURANI

KUALA TERENGGANU, 15 Sept – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucaptamanya pagi ini menyatakan bahawa PAS sentiasa menyediakan solusi penyelesaian kepada masalah yang sentiasa membebankan rakyat dan negara.

Tegasnya, PAS telah berjaya menunjukkan secara amali sebuah kerajaan yang bersih daripada segala salah laku di Kelantan, Terengganu dan Kedah, sewaktu memimpin kerajaan negeri tersebut biarpun dengan kuasa yang terbatas.

“PAS menawarkan model bernegara yang terkandung di dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) sebagai kerangka penyelesaian masalah negara yang membebankan rakyat dan kerajaan, berpandukan acuan Allah daripada petunjuk al-Quran.

“Walaupun lawan kita mencari kesalahan yang kecil sebesar noktah paling halus untuk diperbesarkan, seperti kata perumpamaan, laksana biji halus diperbesarkan menjadi kubah yang besar, untuk dijadikan isu yang dipertonton kepada khalayak. Namun tidak dijumpai, lalu dicipta fitnah dan tuduhan yang tidak berasas. Alhamdulillah, Allah melindungi kita,” tambah beliau.

Tuan Guru turut mengingatkan kepada negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu Kelantan dan Terengganu supaya menjadi model ‘Negeri Idaman’; sebagai contoh sebuah pentadbiran yang adil dan berkebajikan.

Hal demikian ulasnya untuk menyerlahkan keadilan Islam secara praktikal, seterusnya menambah keyakinan rakyat terhadap kemampuan PAS untuk mentadbir kerajaan di peringkat persekutuan.