Home Muktamar PAS Ke 66 Mengukuhkan Kerajaan Yang Dibentuk Bersama

Mengukuhkan Kerajaan Yang Dibentuk Bersama

894
SHARE

 Usul Terima Kasih dan Perbahasan Ucapan Dasar Presiden PAS

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyokong penuh ucapan Tuan Guru Presisden. DMPP memfokuskan perbahasan hari ini terhadap mengukuhkan kerajaan persekutuan dan negeri. Bagi mengukuh kerajaan yang dibentuk bersama ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.

1. PAS perlu memastikan kerajaan yang didokong ini kekal relevan.
Dalam permuafakatan ini, PAS perlu terus menjadi diri sendiri. Kita membawa dasar dan prinsip perjuangan walaupun dilatari dengan mehnah dan duri dalam perjuangan, begitulah juga yang dilalui para pejuang terdahulu. Teruskan berpolitik dengan matang dan sejahtera, bertolak ansur dalam perkara cabang dan furu’ tetapi tegas dengan perkara dasar dan prinsip.

2. Pengisian kemenangan hendaklah mengikut rangka kerja yang dirancang.
Kita mempunyai ramai ahli pemikir yang hebat dan telah melancarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS). Inilah rangka kerja masa panjang yang dibina untuk memnadu ke arah pembinaan kerajaan yang kukuh. Menjadi kerugian yang besar sekiranya kita meninggalkan WINS apabila berada dalam kerajaan negeri dan persekutuan.

3. Ahli dan pimpinan dalam kerajaan berperanan sebagai diplomat parti.
Ahli dan pimpinan yang berada dalam kerajaan hendaklah mengekalkan jati diri seperti tarbiah yang diterima dalam parti. Kita perlu sentiasa bawa imej PAS yang menjunjung kitabullah, sunnah rasul, ijmak ulama dan qias seperti yang terdapat dalam perlembagaan parti. Dalam setiap langkah dan kerja yang dibuat jangan lupa untuk meletakkan Islam di hadapan. Jangan lupa setiap kemenangan pasti ada musuh yang nyata dan tersembunyi serta mencari jalan untuk menjatuhkan PAS.

4. Memposisikan jentera parti sewajarnya.
PAS harus berbangga kerana kita merupakan parti tertua di Malaysia yang didaftarkan dan tidak pernah pernah dibatalkan pendaftaran. Kita sebuah gerakan islam dan susunan organisasi dilaksanakan seperti pentadbiran sebuah kerajaan. Oleh itu, fungsi lajnah perlu digerakkan dalam pentadbiran.

5. Meletakkan keutamaan agenda mendidik rakyat.
Apa yang benar itu benar, yang salah itu salah. Rakyat perlu dididik dengan bijak iaitu dengan didikan hujah dan ilmu dan bukan pula dengan menggula-gulakan rakyat. Rakyat boleh mendengar dan patuh sekiranya ada 2 elemen ini:
– Rakyat perlu difahamkan dengan ilmu
– Rakyat mendengar daripada mereka yang berwibawa dan berintegriti; bukan daripada si ketam mengajar anaknya.

Sangat cantik sekiranya ada hisbah atau kumpulan audit dipantau Majlis Syura Ulama yang memantau proksi parti agar isu sahsiah dan integriti dapat diselia dengan baik.

Sebagai penutup, kami memegang bait-bait ucapan Tuan Guru Presiden agar semua ahli pas di tempat masing-masing menjalankan tugas membawa risalah Islam dan menjadi teladan baik dari segi sahsiah atau integriti serta kemampuan melaksanakan tugas. Harapnya juga kita tidak menjadi tikus di dalam kepuk padi atau semut yang mati di dalam balang gula. DMPP menyokong penuh ucapan dasar Tuan Guru Presiden PAS.

Bila sampai di medan juang, kurangkan bercakap, teruskan bekerja.

Puan Fairuz Idris
Perwakilan Dewan Muslimat PAS Pusat