Home Muktamar PAS ke 67 Dewan Muslimat Muslimat Melaka: Muslimat melestari kebajikan, mempersada politik

Muslimat Melaka: Muslimat melestari kebajikan, mempersada politik

278
SHARE

Oleh: RABIATUL

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Ucapan penggulungan diteruskan dengan penampilan Puan Hawa binti Yaakub, wakil dari Dewan Muslimat PAS Melaka dengan membawa topik Muslimat Melestari Kebajikan, Mempersada Politik.

Puan Hawa mengutarakan kedudukan Lajnah Kebajikan antara Lajnah yang paling aktif di semua peringkat organisasi parti Muslimat khususnya dalam memainkan peranan yang amat penting di tengah masyarakat.

Justeru, agenda kebajikan adalah satu agenda yang perlu terus diberikan keutamaan. Selain melalui wadah parti, agenda kebajikan juga boleh dilaksanakan melalui NGO-NGO yang bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan Lajnah Kebajikan di semua peringkat.

Tambah beliau, dalam zaman langit terbuka kini, agenda kebajikan bukan saja boleh dilaksanakan merentasi negeri, malah merentasi sempadan antarabangsa antaranya negara umat Islam seperti Palestin, Syria, Yaman, Uyghur, Afghanistan dan seumpamanya.

Dalam pada itu, Muslimat juga harus kreatif dalam menyampaikan bentuk sumbangan kepada penerima. Selain wang ringgit dan keperluan material, pengisian rohani, motivasi, pendidikan,  bimbingan dan kaunseling juga adalah cabang-cabang kebajikan yang perlu dipelopori oleh muslimat.

Beliau turut menjelaskan bahawa penyertaan dalam Skuad WAJA juga adalah salah satu komitmen Muslimat dalam melestari Kebajikan.

“Bagi mempersada politik,kini PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan, Muslimat perlu berani mengangkat wajah-wajah baru dan membuat perubahan di dalam kepimpinan Dewan Muslimat itu sendiri. Muslimat perlu mengangkat pimpinan yang bukan sahaja faqih dalam agama, tapi juga memiliki ilmu dan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti bahasa, perundangan, ekonomi, sains dan teknologi”, ulas beliau membahas topik.

Ciri-ciri ini adalah penting agar Dewan Muslimat bukan sekadar mampu menandingi rakan-rakan sejawat dalam parti-parti politik rakan dan lawan, malah mampu mengatasi mereka dalam segala hal serta layak mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Muslimat di semua peringkat perlu memperkenalkan dan mempromosikan calon-calon yang dicadangkan agar bakat serta kebolehan yang ada di dalam Dewan Muslimat tidak dipendam dan merugikan parti.

“Muslimat perlu mengakui bahawa cabaran politik terbesar yang kita hadapi sekarang ialah UNDI 18 dan pendaftaran automatik. PRU-15 bakal menyaksikan pertambahan 50% atau hampir 7 juta pengundi baru.”, ujar beliau lagi.

“Pendekatan politik kita sudah tentu memerlukan nafas baru yang drastik dalam memenangi hati mereka. Dalam era teknologi maklumat masa kini, mahu tidak mahu, mereka juga mendapat asakan maklumat daripada pelbagai sumber tanpa batasan.”, tambah Puan Hawa.

Justeru, Dewan Muslimat perlu berjiwa besar untuk memberi peluang kepada Muslimat Muda untuk membuat keputusan dan tindakan dalam menyantuni wanita muda melalui pendekatan yang sesuai dengan aspirasi generasi mereka mengikut acuan Islam, seterusnya mengikat hati-hati mad’u mereka untuk mengenali dan mencintai Islam yang syumul.

Selain itu, ujar beliau langkah ini juga bakal melahirkan pemimpin yang lebih independent, berdaya saing, lebih bersedia dan yakin untuk mengambil alih kepimpinan Dewan Muslimat dan Negara serta pembuat dasar pada masa akan datang.

“If you don’t change what you are doing today, all of your tomorrows will look like yesterday. Be like flowers – survive the rain and use it to grow,” ujar beliau mengakhiri ucapan.