Home Muktamar PAS Ke 63 Wilayah Persekutuan Usul DMPM Ketuai Misi Kemanusiaan

Wilayah Persekutuan Usul DMPM Ketuai Misi Kemanusiaan

1067
SHARE

ALOR SETAR, 27 April – Perwakilan Wilayah Persekutuan ketika menyentuh tema ‘Muslimat Di Persada Antarabangsa: Konflik Antarabangsa dan Jenayah Kemanusiaan Sejagat’ menekankan bahawa masyarakat antarabangsa perlu bersatu padu bagi menangani isu keganasan dan menghalang pembiayaan terhadap ekstremisme.

Hajjah Salbiah Abd Wahab ketika menyampaikan ucapan penangguhannya itu turut mengingatkan para perwakilan dan pemerhati bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Oleh itu, menurut beliau, slogan ‘inilah penyelesaian Islam’ yang dibawa Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang amat tepat dalam menawarkan solusi menghadapi isu antarabangsa yang tiada kesudahan sehingga ke hari ini.

“Sudah 7 dekad PBB ditubuhkan namun persoalan Palestin terus menjadi isu besar yang menggambarkan kelemahan rangka kerja PBB sendiri yang tunduk kepada konsep kuasa veto,” ujar beliau tegas.

Selain itu, beliau turut menarik perhatian hadirin kepada isu etnik minoriti Muslim Rohingya yang dizalimi dan tertindas di Myanmar. “Saya percaya perkara paling mendesak adalah aspek bantuan kemanusiaan. Muslimat PAS perlu merasai denyut nadi kesengsaraan yang dihadapi wanita-wanita dan anak-anak yang tertindas ini”.

Sehubungan itu, Wilayah Persekutuan mengemukakan beberapa cadangan antaranya supaya DMPM mengetuai misi kemanusiaan peringkat antarabangsa dan bukan sekadar menghantar beberapa orang wakil sahaja.

Hajjah Salbiah Abd Wahab juga berkata, selain tumpuan kepada isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa, fokus juga wajar diberikan dari sudut pemindahan ilmu dan skil.

“DMPM perlu juga fokus kepada perkara yang berkait dengan ‘transfer of knowledge and skills (pemindahan pengetahuan dan kemahiran) bagi memartabatkan wanita muslimat di peringkat antarabangsa.”

Wakil Wilayah Persekutuan turut mencadangkan DMPM menjalin hubungan dgn badan-badan Islam serta bukan Islam sebagai platform untuk mempersada politik matang dan ‘politic of empowering Muslimah’ di peringkat antarabangsa.

Dalam ucapan tersebut juga, Hajjah Salbiah Abd Wahab mengambil kesempatan menzahirkan kesyukuran kerana Muktamar DMPM kali ke-57 hari ini berjalan penuh ukhuwah dan harmoni.